JAKARTA – “Betul-betul Ahmad Bergson sekarang, kan?”
Demikian seloroh penyerang naturalisasi negara, Bergson da Silva ketika ditanya mengenai gelaran ‘Ahmad Bergson’ yang diberikan penyokong bola sepak tempatan kepadanya.
Namun di sebalik gurauan itu, Bergson yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan beliau sememangnya semakin tertarik untuk mengenali dan mempelajari Islam selepas lebih lima tahun hidup bersama masyarakat majoriti Muslim di Malaysia.
Memetik laporan media, pemain itu mengakui proses berkenaan masih di peringkat awal dan dilakukan sedikit demi sedikit, termasuk mempelajari bahasa serta beberapa ungkapan yang sering digunakan umat Islam.
“Sikit-sikit, tak cukup. Tapi masih belajar, belajar bahasa. Jadi saya rasa ia dalam proses dan akan berkembang,” katanya.
Beliau beraksi cemerlang meledak gol pada penampilan pertama bersama Malaysia ketika menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Divisyen 1, Piala ASEAN FIFA 2026 di GBK, semalam.
Bergson berkata, antara perkara yang membuatkannya kagum adalah budaya masyarakat Islam di Malaysia, khususnya semangat saling membantu, berdoa dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan kepada orang lain.
“Banyak perkara kerana kebanyakannya adalah muslim dan ia budaya yang saya kagumi. Saya selalu melihat mereka dan mengagumi cara mereka berjuang, cara mereka saling membantu,” katanya.
Selepas lebih lima tahun menetap di negara ini, Bergson turut mengakui dirinya kini semakin sebati dengan Malaysia sehingga merasakan personalitinya juga sudah seperti rakyat tempatan.
“Saya rasa seperti orang Malaysia, personaliti Malaysia. Jadi saya sangat gembira dengan kasih sayang yang mereka berikan kepada saya sepanjang masa ini dan saya mahu membalasnya di atas padang,” katanya. – MYNEWSHUB


