KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau bagaimana masyarakat suatu ketika dahulu menyanjung tinggi kesusasteraan, budaya, tradisi ilmu dan pemikiran sehingga pemergian tokoh sastera besar mendapat penghormatan luar biasa.
Beliau mengambil contoh kematian pujangga terkenal Perancis, Victor Hugo pada 1885 yang menyaksikan kira-kira dua juta manusia membanjiri kota Paris bagi memberikan penghormatan terakhir.
Menurutnya, situasi sama berlaku ketika pemergian Fyodor Dostoevsky pada 1881 apabila puluhan ribu rakyat mengiringi jenazah tokoh berkenaan di Saint Petersburg.
“Ia secara tidak langsung membuktikan masyarakat ketika itu menyanjung tinggi kesusasteraan, budaya, tradisi ilmu dan pemikiran.
“Kedua-dua mereka bukan dari kalangan raja mahupun panglima perang yang menang perang, tetapi tokoh dan sarjana yang pemikirannya telah meresap jauh ke dalam jiwa dan sanubari masyarakat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, beliau mengimbau peristiwa berkenaan ketika menekuni karya terbaharu James Marriott berjudul The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society tengah hari tadi.
Katanya, karya itu mengangkat persoalan besar mengenai kemerosotan budaya membaca dan menelaah, kedangkalan pemikiran serta masa depan peradaban dalam era digital masa kini.
Beliau berkata, Marriott turut mengingatkan bahawa ancaman terhadap peradaban bukan semata-mata kehilangan akses kepada ilmu, sebaliknya kelunturan kecintaan dan kesabaran untuk membaca, merenung serta berfikir secara kritis dan mendalam.
“Kita mungkin semakin kaya dengan maklumat, namun miskin dan papa dalam kebijaksanaan.
“Justeru, persoalannya bukan sekadar apakah manusia masih membaca, tetapi apakah manusia masih mahu berfikir,” katanya. – MYNEWSHUB


