KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah mempersoalkan sama ada penggunaan elektrik bagi memenuhi keperluan asas isi rumah wajar dianggap sebagai satu bentuk pembaziran.
Beliau berkata, had penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan perlu dinilai semula supaya selari dengan realiti dan corak kehidupan rakyat ketika ini.
“Persoalannya, adakah penggunaan elektrik untuk keperluan asas ini boleh dianggap sebagai pembaziran?” katanya dalam satu kenyataan.
Armand Azha berkata, cuaca yang semakin panas menyebabkan kebanyakan isi rumah kini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah penghawa dingin, selain menggunakan peti sejuk, mesin basuh, dispenser air dan pelbagai peralatan elektrik asas lain.
Menurutnya, penggunaan elektrik isi rumah juga boleh meningkat apabila rakyat menyahut dasar atau amalan bekerja dari rumah (WFH), sekali gus menjadikan penggunaan tenaga sebahagian daripada keperluan pekerjaan.
Justeru, beliau berpandangan sesuatu dasar kerajaan perlu saling menyokong dan tidak akhirnya memberi tekanan kepada rakyat yang menyahut pendekatan bekerja dari rumah.
“Rakyat tidak sepatutnya dipaksa mencatu
penggunaan elektrik semata-mata untuk memastikan penggunaan kekal di bawah paras 600kWh, sedangkan mereka menggunakan elektrik secara berhemah dan bukan membazir,” katanya.
Beliau turut menegaskan dasar tenaga perlu berpijak kepada realiti kehidupan semasa dan bukan semata-mata berasaskan angka, dengan tumpuan sepatutnya diberikan kepada kecekapan tenaga, tarif yang adil serta kemampuan rakyat.
Armand Azha dalam masa sama meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan semula kesesuaian paras 600kWh berkenaan.
“600kWh mungkin relevan pada suatu ketika dahulu. Tetapi persoalannya, adakah ia masih relevan dengan kehidupan rakyat hari ini? Jawapannya tidak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Armand Azha
