ALOR GAJAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah, Melaka hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata khutbah Jumaat yang disampaikan mengajak umat Islam menghayati kehadiran bulan Rabiulawal dengan menelusuri sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menyuburkan rasa mahabbah terhadap Baginda dalam setiap sisi kehidupan.
Sebelum itu, beliau turut singgah menikmati makan tengah hari di Restoran Sultan Salai di Simpang Ampat sambil beramah mesra dengan masyarakat setempat.
Anwar berharap ukhuwah yang terjalin bersama masyarakat terus diperkukuh dan membawa keberkatan kepada semua.
“Saya singgah menikmati makan tengah hari di Restoran Sultan Salai, Simpang Ampat sambil beramah mesra dengan masyarakat setempat.
“Semoga ukhuwah yang terjalin terus diperkukuh dan membawa keberkatan buat kita semua, Insya-Allah,” katanya. – MYNEWSHUB


