KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca kejadian tragis tersebut.
“Langkah penambahbaikan perlu diambil supaya tragedi seperti ini tidak berulang.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta warga PDRM. Jasa dan pengorbanan mereka dalam memelihara keamanan serta keselamatan negara akan sentiasa dikenang,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang.
Mangsa ialah Koperal Chiu Teck Siong, 40, Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Ketiga-tiga anggota polis itu dipercayai sedang menjolok buah kelapa menggunakan galah besi sebelum alat itu terkena kabel elektrik. – MYNEWSHUB


