KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa fahaman ekstrem kanan yang berbahaya kepada negara telah kembali.
Beliau mendakwa fahaman ekstrem kanan kembali selepas DAP muncul hebat dalam sistem demokrasi negara dengan memenangi banyak kerusi dalam pilihan raya.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu mengingatkan peristiwa 13 Mei adalah disebabkan oleh fahaman ekstrem yang berkempen atas nama kaum.
“Sekarang ia muncul semula apabila melalui demokrasi, DAP boleh menang tak kurang daripada 30 kerusi sehingga 40 kerusi.. sudah kita lihat pilihan raya yang DAP mula muncul hebat ini (tahun) 2008, 2013, 2018, 2022.
“Maka ditiuplah semangat anti DAP, DAP anti Islam, DAP komunis berbagai-bagai isu dimainkan dan ‘far right’ (ekstrem kanan) ini muncul semula dan isu ini dimainkan begitu hebat dalam pilihan raya kecil yang berlaku pada bulan Julai dan Ogos (lalu)
“Laku isu itu yang menyebabkan parti juga yang berada bersama parti pemerintah Barisan Nasional (BN) boleh bersama dengan parti pembangkang khasnya PAS dan Wawasan.
“Mereka sanggup bersama untuk kononnya ancaman DAP dan kumpulan anti Islam dan ianya berjaya buat sementara sekarang ini,” dakwanya menerusi satu rakaman video di muat naik di media sosial.
Dalam pada itu, Mohamad mendakwa institusi-institusi orang Melayu lah yang banyak mengalami kerosakan kerana berlaku penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan.
Menurut beliau, keadaan itu kadangkala membuatkan orang bukan Islam berasa kecewa kerana mereka merupakan pembayar cukai dan wang negara digunakan untuk membantu orang Melayu.
“Kita lihat apa jadi pada 1MDB, apa jadi yang paling akhir Tabung Haji. Semua ini kita kena mencari jalan bagaimana kita nak baiki supaya konglomerat Melayu atau syarikat-syarikat yang dibiayai oleh kerajaan ini berjaya, bukan dengan kita membenci kaum lain atas kejayaan mereka,” katanya.
Beliau seterusnya mempersoalkan dakwaan mengenai ancaman terhadap Islam dengan menegaskan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, ketua polis negara, ketua tentera serta ketua-ketua pejabat daerah beragama Islam.
“Malulah kita kalau ada ancaman sedangkan kita mempunyai satu birokrasi yang besar untuk hadapi semua masalah ini. Saya nampak ia digunakan sebagai umpan untuk mendapat undi, bukan satu ancaman yang nyata,” dakwanya lagi.
Beliau turut mengemukakan persoalan apa yang akan berlaku kepada umat Islam di Eropah sekiranya negara berkenaan mengamalkan sikap ekstrem kanan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


