Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Semua pengusaha dewan makan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan kolej MARA yang mendapat kontrak MARA wajib mengutamakan bekalan bahan mentah daripada usahawan bumiputera.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketetapan itu merangkumi bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran, selain produk makanan seperti kicap, sos dan mi.
“MARA lulus dasar baharu, semua pengusaha dewan makan MRSM dan kolej MARA yang mendapat kontrak MARA wajib utamakan barang mentah seperti ayam, ikan, kicap, sos dan lain-lain hanya daripada usahawan bumiputera,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam hantaran berasingan memaklumkan seorang anak yatim piatu dari Pasir Mas, Kelantan yang berdepan kekangan kewangan dibantu untuk meneruskan pengajian di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi.
Menurutnya, Iyad kehilangan ibunya pada Januari 2021 akibat komplikasi kencing manis dan masalah buah pinggang ketika berusia 16 tahun, sebelum bapanya pula meninggal dunia enam bulan kemudian akibat penyakit sama.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, Iyad terpaksa menangguhkan pengajian dan bekerja di kedai makan selama hampir dua tahun bagi mengumpul wang sebelum menyambung pengajian dalam bidang Pengurusan Sukan di KPTM Bangi.
“Insya-Allah, saya terus menghubungi CEO KPTM untuk beri pelepasan yuran untuk adik ini menduduki ujian. Insya-Allah jika keputusannya baik, MARA akan memberikan pembiayaan penuh sehingga dia tamat belajar.
“Saya tawarkan untuk mengambil adik Iyad ini sebagai anak angkat saya dan akan membantunya sehingga tamat pengajian,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI


