KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 peratus kandungan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) baharu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh dan memperketat aspek tadbir urus agensi itu termasuk mengurangkan kuasa Pengerusinya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, cadangan RUU berkenaan turut bertujuan menutup segala ruang yang boleh membuka peluang kepada penyimpangan, penyelewengan, rasuah dan ketirisan dalam pengurusan MARA.
“80 peratus kandungan cadangan RUU Akta MARA baharu untuk tambah baik dan perketat aspek tadbir urus termasuk mengurangkan kuasa Pengerusi dan menutup segala ruang penyimpangan, penyelewengan, rasuah dan ketirisan,” katanya hari ini.
Langkah itu sekali gus menunjukkan penekanan MARA terhadap penambahbaikan sistem tadbir urus, termasuk mengehadkan kuasa Pengerusi bagi memperkukuh mekanisme kawalan dan akauntabiliti. – MYNEWSHUB


