JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon kepada anggota tentera, polis dan seluruh warga pasukan keselamatan yang akan mengundi pada 7 Julai ini agar terus memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.
Onn Hafiz berkata, beliau sedar amanah memimpin dan mentadbir Johor bukan sesuatu yang mudah atau ringan, tetapi setiap kepercayaan yang diberikan adalah amanah besar yang akan dipegang dan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Dengan penuh rendah hati, saya memohon dan merayu kepada saudara-saudari. Berikanlah peluang dan kepercayaan kepada calon-calon BN untuk kami terus berkhidmat, meneruskan usaha yang telah dimulakan dan membawa Johor melangkah lebih jauh demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.
“Insya-Allah, sekiranya diberikan mandat sekali lagi, kami akan terus bekerja sehabis baik dan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan pengundian awal, melancarkan setiap perjalanan dan mengurniakan kemenangan kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan serta khidmat bakti anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan, kestabilan dan keselamatan negeri serta negara.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi satu rakaman video di media sosial menyeru anggota pasukan beruniform tidak tunduk kepada sebarang tekanan sama ada secara terang-terangan atau secara halus ketika mengundi awal.
Menurut beliau, tiada siapa berhak memaksa, menekan, mengugut atau memberi bayangan bahawa masa depan mereka bergantung kepada pilihan politik.
“Undi tuan-tuan dan puan-puan adalah rahsia. Tiada siapa boleh tahu siapa yang anda undi. Sebagai anggota pasukan beruniform, anda telah banyak berkorban menjaga keselamatan, ketenteraan dan kedaulatan negara.
“Maka hak anda sebagai pengundi juga mesti dihormati sepenuhnya. Undilah berdasarkan hati nurani, penilaian sendiri dan keyakinan terhadap siapa yang benar-benar mampu menjaga Johor, membela rakyat dan membawa kestabilan serta kemajuan,” katanya.
Ka Siong turut meminta anggota pasukan beruniform yang bakal mengundi dalam PRN Johor kali ini tidak gentar terhadap bayangan kuasa kerana dalam demokrasi kerajaan datang dan pergi.
Menurut beliau, jawatan politik juga tidak kekal selama-lamanya, tetapi maruah prinsip dan hak rakyat untuk memilih tidak boleh dirampas.
“Tunaikan tanggungjawab anda dengan berani, tenang dan yakin. Undi anda rahsia. Pilihan anda hak anda. Masa depan Johor milik Bangsa Johor,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi/Wee Ka Siong


