JOHOR BAHRU – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menyeru Bangsa Johor tidak terpedaya dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang sememangnya akan menjanjikan rakyat dengan angka-angka yang besar.
Beliau yang telah meneliti manifesto PH mendapati sebahagian perkara yang dijanjikan malah meniru apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.
“Bila semakin saya baca, semakin saya dapati mereka sebenarnya tengah mengesahkan bahawa hala tuju pembangunan Johor hari ini adalah hala tuju yang betul.
“Sebab hampir semua perkara utama yang mereka tawarkan sebenarnya adalah perkara yang dah pun dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor,” katanya menerusi satu rakaman video di media sosial.
Hafiz berkata, manifesto PH antaranya menyentuh mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), industri bernilai tinggi dan kecerdasan buatan (AI)
Tambah beliau, ekonomi digital, rumah mampu milik, pembangunan usahawan, agromakanan serta integrasi Johor-Singapura yang dijanjikan juga sudah biasa kedengaran di Johor sebelum ini.
“Macam dah biasa dengar, kan? Bukankah semua ini memang agenda yang dah digerakkan oleh kerajaan negeri Johor hari ini Maksudnya tak adalah hala tuju yang baru pun.
“Mereka hanya ambil dan guna hala tuju yang sama, kemudian diletakkan sasaran yang lebih besar. Nombor-nombor yang lebih besar daripada apa yang disasarkan.
“Rumah mampu milik sedang dibina. Pelbagai bantuan rakyat dah pun berjalan. Dan itu bukan lagi janji. Itu adalah pelaksanaan. Jadi, saya tak nampaklah manifesto ini bawa Johor ke arah yang berbeza,” katanya.
Justeru, katanya, perbezaan antara PH dan BN adalah PH bercakap mengenai perancangan yang akan dilaksanakan, manakala BN membuktikan pelaksanaan dasar-dasar berkenaan.
“Persoalannya sekarang bukan siapa yang boleh berjanji yang lebih besar, janji bulan dan bintang. Persoalannya siapa yang benar-benar mempunyai rekod untuk melaksanakannya.
“Kerana akhirnya, rakyat Johor tak mengundi berdasarkan angka yang banyak-banyak tadi di atas kertas. Rakyat Johor mengundi berdasarkan hasil yang mereka boleh lihat sendiri. Sudah-sudahlah terkena pasal manifesto ini,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hafiz Ariffin


