BATU PAHAT – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar.
Beliau bersama Onn memulakan sesi sarapan pagi bersama penduduk di Sq. Lurus sebelum meneruskan program walkabout di sekitar pekan Senggarang.
Onn Abu Bakar berkata, program itu memberi peluang kepada mereka beramah mesra serta mendengar sendiri pandangan dan harapan masyarakat setempat.
Terdahulu, media melaporkan Onn mendakwa PH mampu memastikan pembangunan lebih menyeluruh di Johor berdasarkan pengalaman mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.
Beliau dipetik mendakwa, rekod pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan keupayaan gabungan itu mengurus negeri dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat.
Dakwaan itu namun dibidas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menegaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor yang tertinggi berbanding Pulau Pinang dan Selangor.
“Yang paling tinggi dalam Malaysia iaitu lapan peratus. Tapi, kalau Pulau Pinang pula hanyalah 7.3 peratus dan Selangor 6.3 peratus. Jadi, saya nak tanya kepada Onn Abu Bakar.
“Kalau nak jadikan Johor macam Pulau Pinang dan Selangor, macam pelik pula sebab Johor dah nombor satu. Kenapa nak jadikan kepada tangga kedua dan ketiga,” katanya. – MYNEWSHUB


