KUALA LUMPUR – Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menegur tindakan segelintir jentera kempen Pakatan Harapan (PH) yang didakwa mempamerkan penampilan kurang sopan ketika menjalankan aktiviti kempen pilihan raya.
MKM dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa matlamat politik tidak pernah menghalalkan cara, manakala kempen pilihan raya bukan ruang untuk meraih perhatian dengan mengetepikan pertimbangan moral dan norma masyarakat setempat.
Menurut kenyataan itu semalam, wanita tidak seharusnya dijadikan alat publisiti atau bahan sensasi murahan semata-mata untuk memancing undi.
Sebaliknya, penglibatan wanita dalam politik perlu dihargai berdasarkan keupayaan intelektual dan kepimpinan mereka.
MKM turut menegaskan bahawa Generasi Z dan golongan muda hari ini lebih mengutamakan wacana, gagasan serta penyelesaian yang substantif berbanding gimik politik cetek.
“Generasi Z dan anak muda hari ini menuntut wacana, gagasan, serta penyelesaian yang substantif, bukan gimik politik cetek yang merendahkan daya fikir pengundi muda,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, MKM mengingatkan bahawa prinsip kesopanan dan kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara wajib dihayati sebagai asas tanggungjawab sosial dalam masyarakat majmuk.
Tegasnya, disiplin, akhlak dan kematangan perlu sentiasa menjadi sebahagian daripada perjuangan politik tanpa mengira keadaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mahasiswa Keadilan Malaysia


