- Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membantu mencari penyelesaian terhadap pertikaian tanah yang dihadapi masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Mukim Luit, Maran, Pahang.
Anwar berkata, beliau sempat menghubungi sendiri wakil masyarakat Orang Asli kampung berkenaan melalui telefon bagi mendengar penjelasan mereka mengenai pertikaian tersebut.
Beliau turut dimaklumkan bahawa tiga penduduk Orang Asli yang ditahan polis susulan satu insiden di kawasan pertikaian telah dibebaskan.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan oleh pihak polis.
“Isu pertikaian tanah ini akan saya bangkitkan bersama Kerajaan Negeri kerana hal tanah terletak di bawah bidang kuasa negeri,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Pada masa sama, Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan atau memanipulasikan keadaan sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, pertikaian itu perlu diselesaikan dengan adil, berhemah serta berdasarkan undang-undang.
Isu berkenaan mendapat perhatian selepas tular rakaman seorang wanita Orang Asli bersama anaknya yang mahu bertemu Perdana Menteri bagi memohon bantuan susulan penahanan suaminya.
Menurut laporan Pahangku Media, pertikaian itu membabitkan Lot 42531 di Kampung Sungai Cot yang dikatakan sudah mempunyai geran atas nama sebuah syarikat, manakala beberapa keluarga Orang Asli pula telah lama mengusahakan tanaman di kawasan tersebut.
Laporan itu mendakwa seramai 12 ketua isi rumah dari Kampung Orang Asli Paya Besar terbabit, dengan kawasan tanaman yang diusahakan dianggarkan seluas kira-kira 90 ekar.
Antara tanaman yang terdapat di kawasan itu ialah kelapa sawit, getah dan pokok buah-buahan. Penduduk berkenaan dikatakan berulang-alik dari Kampung Paya Besar ke kawasan Kampung Sungai Cot untuk mengusahakan tanaman mereka.
Rundingan Bermula Sejak April
Pada 16 April lalu, Jabatan Kemajuan Orang Asli daerah Maran dilaporkan mengadakan pertemuan bersama Batin Kampung Orang Asli Paya Besar dan penduduk terlibat.
Antara pilihan yang dikatakan dibincangkan termasuk pemindahan sekiranya persetujuan dicapai, penyediaan kawasan gantian serta pembayaran pampasan bagi tanaman penduduk.
Satu lagi mesyuarat penyelarasan kemudian diadakan pada 2 Julai di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Maran melibatkan polis, Pejabat Daerah dan Tanah Maran, JAKOA, Batin, wakil penduduk serta wakil syarikat.
Dalam mesyuarat itu, Batin dan wakil penduduk dilaporkan secara prinsip bersetuju mempertimbangkan pampasan, tertakluk kepada persetujuan semua penduduk yang terlibat.
Bancian terhadap tanaman turut dicadangkan bagi menentukan nilai pampasan, manakala enam penama dikatakan dikenal pasti sebagai penerima bagi tujuan rundingan.
Bagaimanapun, proses itu dilaporkan tidak dapat dimuktamadkan selepas wakil penduduk tidak menghadiri mesyuarat penyelarasan kedua pada 14 Julai.
Pihak syarikat kemudian dikatakan boleh meneruskan tindakan melalui proses mahkamah dan saluran undang-undang.
Campur tangan Perdana Menteri kini dijangka membuka ruang kepada rundingan lanjut antara masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri Pahang, JAKOA, pihak berkuasa tanah dan syarikat yang mendakwa memiliki geran kawasan berkenaan. –MYNEWSHUB


