JOHOR BAHRU – PAS Johor merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor bagi sesi 2026–2031 yang telah menerima pelantikan untuk menggalas amanah mentadbir negeri.
Menerusi kenyataan media bertarikh 20 Julai 2026, PAS Johor berkata pelantikan barisan EXCO baharu diumumkan selepas pembentukan kerajaan negeri bagi penggal 2026–2031.
“Semoga amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh integriti, keadilan, ketelusan dan rasa tanggungjawab demi kesejahteraan seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang,” menurut kenyataan itu.
PAS Johor turut berharap barisan kepimpinan negeri akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh tadbir urus yang baik, memacu pembangunan yang mampan serta mempertahankan nilai-nilai agama, perpaduan dan keharmonian negeri Johor.
“Sesungguhnya jawatan adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Justeru, semoga setiap keputusan dan dasar yang digubal sentiasa berpaksikan keadilan, kebijaksanaan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam kenyataan sama, PAS Johor sekali lagi mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor sesi 2026–2031 serta mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, petunjuk dan keberkatan dalam melaksanakan amanah demi kesejahteraan negeri ini.
Kenyataan media itu ditandatangani oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed. – MYNEWSHUB


