JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa kesal kerana Perdana Menteri memberi gambaran yang tidak tepat berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Menurut beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu negara sepatutnya membuat setiap kenyataan berasaskan fakta yang tepat.
“Ya, saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri. Namun, dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat.
“Agak tidak sesuai apabila seorang Perdana Menteri memberikan gambaran yang tidak tepat berhubung JS-SEZ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Onn Hafiz sebelum ini mempersoalkan mengapa Kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan JS-SEZ yang sepatutnya diumumkan tahun lalu.
Anwar bagaimanapun mendakwa kononnya kenyataan tersebut tidak benar dan menyifatkan Onn Hafiz sebagai kurang cerdik.
Onn Hafiz menerangkan, Pelan Induk JS-SEZ adalah dokumen Kerajaan Malaysia dan ia tidak memerlukan kelulusan kerajaan Singapura seperti didakwa oleh Anwar.
Menurut beliau, ia sebaliknya hanya melalui proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura dan proses itu telah pun selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Justeru, katanya, dakwaan Perdana Menteri seolah-olah pelan induk itu perlu menunggu persetujuan pada ‘Leaders’ Retreat’ dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua-dua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
Onn Hafiz menjelaskan, beliau membangkitkan perkara itu sebelum ini bukan bertujuan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak, tetapi ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.
Kata beliau, tanggungjawab kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.
“Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ, yang mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.
“Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik tetapi lagi merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.
“Ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga kepada pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


