KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengingatkan supaya jangan ada mana-mana pihak menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, pemimpin politik mesti menunjukkan disiplin, manakala setiap calon bertanggungjawab terhadap tingkah laku penyokong mereka.
‘Berkempenlah dengan bersungguh-sungguh, bertanding secara adil, tetapi jangan melampaui batas dengan mengeksploitasi isu 3R.
“Demokrasi tidak akan dapat bertahan sekiranya pilihan raya menjadi medan untuk menyemarakkan kebencian dan perpecahan,” katanya dalam satu kenyataan di muat naik di media sosial.
Lokman berkata, perkara itu juga telah ditegaskan oleh pihak polis dan ia bukan amaran yang dibuat secara sewenang-wenangnya.
“Malaysia telah berulang kali menyaksikan bagaimana ahli politik yang tidak bertanggungjawab mengeksploitasi isu sensitif bagi membakar emosi, mencetuskan kemarahan dan memecahbelahkan masyarakat demi keuntungan politik jangka pendek.
“Amaran itu bukan sahaja melibatkan ceramah kempen, ia turut merangkumi bahan kempen, kenyataan media dan kandungan media sosial,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lokman Noor Adam Official


