KLUANG – Kehadiran lebih 1,000 pemimpin masyarakat Cina pada satu majlis makan malam di Kluang disifatkan sebagai isyarat sokongan yang semakin kukuh terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kehadiran mereka bagi menyatakan sokongan kepada calon BN bagi DUN Mengkibol, Yap Zhi Peng dan calon DUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah amat membanggakan.
Menurut beliau, sambutan yang diterima membuktikan masyarakat Cina terus memberikan keyakinan kepada BN dan MCA untuk membawa suara rakyat, khususnya dalam memperjuangkan isu pendidikan.
Katanya, sebelum majlis bermula, ramai pemimpin masyarakat Cina mengambil kesempatan bertanyakan perkembangan isu pengecualian cukai TAR UMT, sekali gus menunjukkan kebimbangan mereka terhadap masa depan institusi pendidikan itu.
Wee berkata, MCA akan terus mempertahankan TAR UMT dan UTAR daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan operasi serta kebajikan puluhan ribu pelajar.
Beliau turut mendakwa Kerajaan Persekutuan akhirnya membuat “pusingan U” apabila melanjutkan tempoh pengecualian cukai TAR UMT daripada tiga tahun kepada 10 tahun selepas menerima tekanan daripada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor, khususnya masyarakat Cina di Kluang, menjadikan PRN Johor sebagai platform untuk menyampaikan mesej kepada Kerajaan Persekutuan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Wee Ka Siong


