KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah secara berseloroh menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kereta ‘prototaip Proton’ yang seakan-akan BMW.
Dalam nada penuh sinis beliau berkata, logo kereta ‘prototaip Proton’ tersebut perlu ditukar kepada BMW adalah demi keselamatan daripada diserbu penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Proton Prototype ni nampak macam BMW sangat… sampai logo pun kena tukar. Bukan demi penyamaran, tapi demi ‘keselamatan’ PMX daripada diserbu penyokong Rafizi yang dah mula buat spekulasi macam-macam.
“Sabar dulu… biar jurutera buat kerja, netizen buat teori,” katanya beserta emoji ketawa menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Sindiran itu ekoran gambar sebuah BMW 7 Series berperisai yang didakwa digunakan oleh Perdana Menteri tular di media sosial.
Jabatan Perdana Menteri namun memaklumkan BMW digunakan Anwar Ibrahim itu bukan kenderaan rasmi baharu.
Sebaliknya ia merupakan aset sedia ada milik Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa (BIUPA)
Kenderaan berkenaan ditugaskan sementara untuk kegunaan Perdana Menteri susulan nasihat serta penilaian keselamatan.
Untuk rekod, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuknya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Armand Azha


