KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa adab merupakan antara ciri penting yang perlu dimiliki seseorang manusia termasuk Perdana Menteri selain sifat amanah, ikhlas dan berilmu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pelajar sekolah mengenai ciri penting yang perlu ada dalam kalangan generasi muda atau seseorang Perdana Menteri sepertinya.
Rakaman pertemuan bersama sekumpulan pelajar sekolah itu dimuat naik Anwar menerusi media sosial beliau.
“Apa ciri dia? Ciri dia apa yang baik untuk seseorang? Muslim atau manusia yang baik apa dia? Amanah, dia kena ikhlas dan dia kena berilmu dan ciri kemanusiaan pun kena ada.
“Duduk di sekolah belajar sebanyak mungkin, baca sebanyak mungkin. Tetapi jangan lupa adab,” katanya.
Anwar menjelaskan bahawa adab bermula daripada diri sendiri dan keluarga, khususnya menerusi cara seseorang anak melayani ibu bapa.
Menurutnya, generasi muda juga perlu menghormati guru, rajin belajar serta menjaga hubungan baik dengan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan kepentingan memelihara keharmonian antara kaum termasuk Melayu, Cina dan India, selain mengelakkan sikap yang boleh mencetuskan pergaduhan.
“Hubungan kita ni dalam negara kita ni penting. Kadang-kadang kita dengar macam-macam, toxic. Timbulkan masalah, nak gaduh. Semua tak betul. Tak boleh,” katanya.
Anwar berkata, sebagai seorang Islam, beliau yakin dengan ajaran Islam yang menekankan keadilan dan penghormatan terhadap kemanusiaan.
Jelasnya, kehadiran beliau pada sambutan Deepavali merupakan antara cara menyampaikan mesej mengenai kepentingan menghormati dan meraikan masyarakat lain.
“Sebab Islam itu bagi saya adil dan hormat kemanusiaan.
“Sebab itu macam Deepavali saya pergi umpamanya. Itu untuk bagi mesej bahawa meraikan orang lain,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


