JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengisytiharkan esok Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Suka saya kongsikan, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.
“Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Onn merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor, selain merakamkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan yang diberikan untuk terus memikul amanah tersebut.
Menurutnya, beliau akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor.
Beliau turut memohon doa seluruh rakyat Johor agar diberi kekuatan, kebijaksanaan dan petunjuk daripada Allah SWT untuk memimpin negeri dengan adil, amanah dan penuh integriti.
“Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk serta keredaan Allah SWT,” katanya. – MYNEWSHUB


