Hutang Negara Bertambah Kerana ‘Interest’ 1MDB
Oleh Mynewshub
KAJANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan jumlah hutang negara bertambah disebabkan oleh kerajaan semasa.
Menurut beliau, hutang negara bertambah kerana perlu membayar ‘interest’ hutang lama 1MDB.
“Orang kata hutang bertambah… tak. Hutang kerajaan sekarang berkurangan, tetapi jumlah hutang bertambah kerana ‘interest’ tinggi bayar hutang lama.
“Bayar hutang 1MDB. Nak nafi macam mana?,” katanya pada Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri Dengan Warga Perkhidmatan Awam Zon Tengah di sini hari ini.
Anwar mendakwa kerajaan semasa juga terpaksa menanggung hutang FELDA dan Tabung Haji yang sangat tinggi.
Beliau mendakwa, FELDA menghadapi masalah akibat pertukaran kepada FGV dan apabila kepimpinannya ditukar kepada tokoh politik.
“Tukar jadi FGV, ganti dua tiga tokoh politik… jahanam. Beli hotel patut RM1 juta, kos RM160 juta. Mana saya tahu? Saya yang nak kena bayar.
“Ingat orang itu yang tak marah saya, dia marah. Dia kata ungkit kes lama. Tak ungkit apa? Aku kena bayar sekarang. 1MDB we’re paying now. Salah saudara kah? Tidak.
“Salah pengurusan FELDA? Tidak. Tapi kita kena bayar sekarang. Berapa? Tiap tahun RM980 juta.
“Kena bayar kerana penyalahgunaan, korupsi, orang yang kita amanahkan sebagai pejuang Melayu dan pemimpin Melayu.
“Inilah realitinya. Kempenlah. Nak hidup Melayu, nak ketuanan Melayu, bagi amanah… rosak,” katanya.
Anwar seterusnya mendakwa, permasalahan yang timbul itu bukan kerana kaum tertentu, tetapi akibat masalah akhlak dan rasuah.
Terdahulu, beliau mendakwa kerajaan tidak menurunkan lagi harga minyak kerana tidak mahu hutang negara terus bertambah.
“Boleh kalau nak suruh turun lagi, tapi siapa nak bayar? Saya tak mahu hutang berlonggok banyak-banyak,” katanya. – MYNEWSHUB


