Oleh Mynewshub
PUCHONG – Ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menjelaskan bahawa baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipakainya dalam gambar tular bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibeli melalui jualan amal di lokasi sebuah program.
Menurutnya, pembelian baju berkenaan dibuat semata-mata bagi menyokong usaha kutipan dana dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bukti beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau mana-mana parti politik.
“Baju AMK yang saya pakai pada hari tersebut merupakan sebahagian daripada jualan amal yang diadakan di lokasi program.
“Saya membelinya sebagai tanda sokongan terhadap usaha kutipan dana dan bukannya kerana menyertai mana-mana parti politik,” katanya dalam sidang media di Four Points by Sheraton Puchong, hari ini.
Sementara itu, Peguamnya, Datuk Rajpal Singh berkata, Nicky hadir ke program berkenaan melalui jemputan terbuka yang turut dihadiri kira-kira 3,000 orang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, anak guamnya bukan tetamu khas, tidak ditempatkan di kawasan orang kenamaan serta tidak mempunyai hubungan peribadi dengan Perdana Menteri.
Rajpal berkata, selepas Anwar selesai menyampaikan ucapan, kawasan berkenaan dibuka kepada orang ramai untuk bergambar dan Nicky merupakan antara individu yang mengambil kesempatan tersebut.
Beliau turut menyifatkan tindakan pihak tertentu mengaitkan gambar berkenaan dengan hubungan politik sebagai tidak wajar serta meminta supaya anak guamnya tidak dijadikan “kambing hitam” bagi menyerang Perdana Menteri.
Gambar yang tular sebelum ini memaparkan Nicky memakai baju AMK ketika bergambar bersama Anwar dalam sebuah program khas PKR di Dewan Sivik Petaling Jaya.
Penularan gambar itu mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan Nicky mempunyai kaitan atau menjadi anggota parti berkenaan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh sebelum ini mengesahkan bahawa semakan terhadap rekod keanggotaan mendapati Nicky bukan ahli PKR dan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk menyertai parti tersebut. – MYNEWSHUB


