KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menempelak pihak yang sentiasa mencari jalan untuk menukar kerajaan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan sedia ada perlu diberi ruang untuk menamatkan penggal pentadbiran.
Presiden Amanah itu berkata, tumpuan kerajaan akan terganggu sekiranya negara terus berdepan usaha pertukaran kerajaan atau pilihan raya.
“Sebab tu Bang Mat rasa, kalau asyik nak tukar kerajaan… asyik nak pilihan raya, bila masa kita
nak fokus buat kerja?
“Bagi kerajaan selesaikan satu penggal ni dulu. Nanti dah cukup tempoh, kita serah balik pada rakyat untuk pilih,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Pimpinan PH semasa menjadi pembangkang kerap mengadakan demonstrasi jalanan bagi mendesak perubahan kerajaan.
Selain itu, cubaan mengambil alih kuasa kerajaan tanpa melalui pilihan raya juga pernah diusahakan pimpinan PH.
Pada tahun 2020, ketua pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu. – MYNEWSHUB


