JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong melahirkan rasa kesal terhadap pihak yang kerap menggunakan bahasa kasar ketika berkempen.
Menurut beliau, rakyat Johor mahu tahu tentang usaha yang mahu dilaksanakan untuk membantu rakyat negeri ini dan rancangan membangunkan Johor.
“Apa yang Bangsa Johor nak tahu adalah apa usaha untuk bantu rakyat dan bangunkan Johor, bukan siapa lebih berkuasa atau asyik maki hamun saja. Jangan koyak,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Dalam hantaran berasingan, Choo Seong mengkritik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang tiba-tiba muncul dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau mempersoalkan Kit Siang yang hanya bercakap tentang perpaduan dan hormat menghormati hanya apabila pilihan raya semakin hampir.
“Hormat datang daripada kesediaan untuk mendengar, memahami dan berdiri bersama antara satu sama lain, bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi pada setiap hari.
“Rakyat mampu membezakan antara rasa hormat yang tulen dengan sandiwara politik. Keikhlasan tidak boleh dilakonkan. Ia dapat dirasai,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Neow Choo Seong


