JELEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal kerana mendakwa terdapat pihak yang mahu menolak Anthony Loke Siew Fook di DUN Chennah disebabkan beliau berbangsa Cina.
Pengerusi Pakatan Hadapan (PH) itu berkata, Anthony Loke tidak mencuri wang rakyat dan merampas tanah rakyat, tetapi mahu ditolak kerana beliau merupakan seorang Cina.
“Masih ada yang mahu menolak beliau semata-mata kerana beliau seorang Cina. Bukan kerana gagal melaksanakan amanah, tetapi hanya kerana beliau seorang Cina.
“Aneh sekali kerana di pihak sebelah sana juga ada calon berbangsa Cina, namun yang dijaja kononnya Harapan (PH) dikuasai DAP dan orang Cina,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Pihak sebelah sana yang dimaksudkan Anwar dipercayai calon MCA di DUN Chennah iaitu Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon.
Perdana Menteri berkata, beliau berpesan kepada pengundi di Negeri Sembilan supaya memilih Cina yang lebih baik iaitu Anthony Loke dan seluruh pasukan PH.
“Ukurlah seseorang berdasarkan amanah, prestasi dan khidmatnya kepada rakyat, bukan warna kulit atau bangsanya.
“Insya-Allah dengan mandat rakyat, Harapan akan meneruskan prestasi yang telah terbukti serta bekerja lebih kuat demi kesejahteraan rakyat dan Negeri Sembilan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim



