JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda berkenan menerima sembah taklimat mengenai laporan pencapaian ekonomi, pembangunan serta kemajuan negeri Johor.
Ia termasuk usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Johor dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sesi menghadap ini adalah sebahagian daripada rutin pertemuan berkala antara Seri Paduka Baginda dengan kepimpinan negeri.
“Ia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai hal ehwal pentadbiran serta laporan pembangunan negeri,” kata laman media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut laman media sosial tersebut, kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Seri Paduka Baginda.
Pelbagai usaha kebajikan akan terus digerakkan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Sultanah Fatimah dan Yayasan Sultanah Rogayah.
“Yayasan terbabit memainkan peranan penting dalam membantu golongan memerlukan serta meringankan beban rakyat di seluruh negeri,” katanya. – MYNEWSHUB


