KUALA LUMPUR – Satu rakaman video ucapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming didakwa mengkritik kerajaan PAS Kelantan dalam bahasa Cina tular di media sosial.
Video ucapan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP itu turut dikongsikan oleh pempengaruh media sosial yang sering mengulas isu politik, Eric Lim Sian See di akaun media sosial beliau hari ini.
Antara terjemahan yang tertera pada rakaman video berdurasi 28 saat tersebut, Kor Ming didakwa menyatakan banyak kes AIDS berlaku di Kelantan selama 30 tahun PAS memerintah negeri tersebut.
“Kelantan di perintah PAS lebih 30 tahun, tapi akhirnya apa yang berlaku? Pertama banyak kes AIDS, kedua banyak kes rogol, ketiga banyak kes dadah, keempat kadar pengangguran tinggi, kelima banyak orang miskin, keenam banyak bakat tempatan berhijrah ke luar negeri?
“Jadi jika PAS boleh dipercayai maka babi betina pun boleh memanjat pokok,” katanya berdasarkan terjemahan dalam Bahasa Melayu yang tertera dalam rakaman video berkenaan.
Mengulas rakaman video tersebut, Eric Lim berpandangan kenyataan Kor Ming antara punca PAS meminta penyokongnya mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Sekarang DAP-PH tuduh MCA-BN berpakat dengan PAS hanya kerana PAS minta penyokongnya undi BN di tempat tidak bertanding untuk kalahkan DAP-PH.
“Tak payah fitnah. MCA tak perlu buat apa-apa pun. Tengok sahaja apa pemimpin DAP kata terhadap PAS, sudah cukup jelas kenapa PAS buat keputusan begitu,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See



