Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Johor Motorsports Racing (JMR) bakal mencipta detik bersejarah apabila membuat penampilan sulung dalam perlumbaan ketahanan paling berprestij dunia, 24 Jam Le Mans di Perancis, dengan Tunku Abdul Rahman, Tunku Panglima Johor turut turun beraksi buat kali pertama.
JMR bekerjasama dengan pasukan TF Sport menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R bagi menghadapi cabaran di litar ikonik Circuit de la Sarthe yang mempunyai panjang sekitar 13.6 kilometer.
Tunku Abdul Rahman dijadual bergandingan bersama pelumba profesional Ben Green serta pelumba Britain, Lorcan Hanafin dalam kategori LMGT3 bagi mengharungi perlumbaan selama 24 jam tanpa henti.

Kelajuan di litar itu boleh mencecah hampir 320 kilometer sejam.
“Sejak saya bermula berlumba lapan tahun yang lalu, penampilan di Le Mans telah menjadi sasaran utama.”
“Saya bersyukur atas perjalanan yang telah ditempuhi, pengorbanan dan pengajaran yang dilalui serta semua pihak termasuk pasukan, rakan kongsi, dan keluarga yang telah memberi bimbingan, kepercayaan serta sokongan.”
“Kita akan memberikan yang terbaik dalam setiap pusingan,” titahTunku Abdul Rahman di sebuah platform media sosial hari ini.
Menurut kenyataan pasukan, penyertaan ke Le Mans merupakan antara sasaran utama Tunku Abdul Rahman sejak mula menceburi dunia perlumbaan beberapa tahun lalu.
Baginda turut menzahirkan rasa syukur terhadap perjalanan yang telah ditempuhi bersama pasukan serta sokongan pelbagai pihak sehingga berjaya membawa JMR ke pentas perlumbaan bertaraf dunia itu.
Selain aksi di Le Mans, JMR turut mengesahkan penyertaan dalam beberapa perlumbaan endurance berprofil tinggi lain termasuk CrowdStrike 24 Hours of Spa dan Suzuka 1000 sebagai sebahagian daripada musim “Season of Icons” pasukan berkenaan.
Para peminat dan penyokong boleh mengikuti perkembangan perlumbaan menerusi Astro, laman rasmi Le Mans dan juga saluran YouTube Chevrolet khusus bagi jentera-jentera Corvette pada 13 Jun bermula jam 10 malam waktu Malaysia.– Mynewshub


