MUAR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menepis dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi mengalami banyak ‘kebocoran’.
Baginda sebaliknya menegaskan kelewatan pelaksanaan projek pembangunan serta pelbagai kekangan dihadapi Johor berpunca daripada tindakan Kerajaan Persekutuan melambatkan atau menyekat pelaksanaan projek penting untuk rakyat negeri itu.
“Macam baru-baru ini sahabat saya Perdana Menteri membuat satu kenyataan Johor ini negeri kaya, tetapi banyak bocor..(kalau) banyak bocor sebab Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor.
“Ini saya bercakap berterus terang tak nak bertapis.. kerana apa..? Projek yang melewat-lewatkan atau disekat. Saya dah alami berdasarkan pengalaman, bukan sekadar bercakap teori.. ini praktikal,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam sesi Podcast Bual Santai Petang DYAM Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tunku Mahkota Ismail turut membangkitkan Johor menyumbang lebih RM40 bilion hasil kepada Kerajaan Persekutuan setiap tahun, namun hanya menerima pulangan RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menguruskan hampir 4.9 juta rakyat negeri itu.
“Benda itu tak logik. Jadi saya sentiasa sampaikan walaupun ada beberapa pihak yang tidak senang dengan apa yang saya cakap.
“Tetapi yang penting, 25 atau 30 peratus hasil Johor patut berada di bumi Johor kerana ia akan memberi kemudahan kepada kerajaan yang mentadbir Johor untuk menguruskan negeri ini. Boleh berdiri dengan kaki sendiri,” titah baginda.
Baginda turut mempersoalkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan dalam urusan asas seperti membaiki sekolah, jalan raya dan hospital yang menurutnya kadangkala berdepan proses kelulusan yang terlalu lama.
“Apabila kita memberi hasil negeri lebih RM40 bilion setahun dan diberikan balik hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun, macam mana hendak menjaga 4.9 juta rakyat Johor?
“Contohnya, takkanlah sekolah yang hendak menukar bumbung di Segamat perlu meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Takkan jalan raya yang rosak di Batu Pahat juga perlu membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda turut mendedahkan projek Hospital Pasir Gudang yang hampir siap pada 2018 pernah diarahkan untuk ditangguhkan oleh Putrajaya yang memberi kesan kepada rakyat Johor.
“Siapa yang susah? Rakyat yang susah atau orang atasan yang susah? Saya yang bersuara secara konsisten selama empat tahun untuk membuka Hospital Pasir Gudang.
“Alhamdulillah, hari ini hospital itu sudah dibuka, tetapi itupun hanya dengan separuh daripada jumlah staf yang diperlukan. Doktor tidak cukup, kakitangan tidak cukup. Keputusan mengenai Hospital Sultanah Aminah 2 juga masih belum diluluskan lagi.
“Jadi, yang melewat-lewatkan pembangunan negeri Johor adalah Kerajaan Persekutuan. Jangan datang ke sini dan bercakap perkara yang bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik.
“Seolah-olah kerajaan yang mentadbir tidak menjalankan tugas kerana saya sentiasa memantau kerajaan saya. Saya pastikan kerajaan ini buat kerja. Jadi saya tidak takut untuk mengatakan bahawa Johor ini adalah mangsa yang dianiayai kerana wujudnya pilih kasih.” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda menegaskan bahawa Johor tidak berniat bermusuhan dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hanya mahu hak dan kepentingan negeri diberi perhatian sewajarnya berdasarkan peranan besar Johor dalam ekonomi negara.
Titah baginda, sebagai sebuah Negeri Tidak Bersekutu yang mempunyai sejarah dan kedudukan tersendiri dalam Persekutuan Malaysia, Johor wajar dilayan sebagai rakan strategik dan bukannya dipinggirkan dalam soal pembangunan.
“Saya rasa sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil serius soal kehidupan rakyat Johor, kesejahteraan rakyat Johor dan pembangunan negeri Johor. Apa yang kita cadangkan adalah situasi menang-menang, bukan untuk menimbulkan masalah kepada sesiapa,” titah baginda lagi.
Baginda turut menyindir pihak yang mencadangkan agar institusi diraja menggunakan kekayaan sendiri untuk menguruskan kebajikan rakyat Johor, dengan menyatakan bahawa jika Kerajaan Persekutuan tidak mahu memikul tanggungjawab tersebut, maka hasil yang dijana Johor sewajarnya dikekalkan sepenuhnya di negeri itu.
“Boleh Sultan Johor jaga rakyat, tetapi RM40 bilion itu biarlah berada di bumi Johor dan beri kita merdeka. Kita boleh jaga rakyat, tetapi senarionya bukan begitu. Kita berada dalam Malaysia, jadi oleh itu biarlah cukai dan hasil Johor kekal di bumi Johor supaya kita boleh menjalankan tugas menjaga rakyat dan mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan.
“Apa yang kita buat adalah situasi menang-menang. Kita bukan hendak bermusuh dengan sesiapa. Kita bukan hendak memberi masalah kepada kerajaan yang mentadbir negara, tetapi oleh sebab kita ini sebuah Non-Federated State, kita ada Federation Agreement, mereka kena jaga kita sebagai rakan kongsi.
“Kalau melihat kepada sumbangan kepada negara, kita memainkan peranan yang penting dari segi ekonomi. Jadi saya rasa sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengambil serius berkenaan kehidupan rakyat Johor, kesejahteraan rakyat Johor dan pembangunan negeri Johor,” titah baginda. – MYNEWSHUB


