KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegur pihak industri yang masih bergantung kepada pekerja asing sehingga keadaan kini dilihat terbalik apabila 80 peratus keperluan tenaga kerja melibatkan pekerja asing berbanding hanya 20 peratus pekerja tempatan.
“Kalau kita dah mula menukar kuota 20 peratus kepada pekerja asing, 80 peratus kepada pekerja tempatan, tetapi sekarang ini dia terbalik. 80 peratus industri yang memerlukan pekerja asing, 20 peratus sahaja tempatan,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.
Menurut Johari, negara kini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing dan jumlah itu sepatutnya dikurangkan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagaimanapun, usaha tersebut berdepan cabaran apabila syarikat yang sudah lama beroperasi terus meminta pekerja asing walaupun negara mempunyai lebih 400,000 pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
Lebih mengecewakan, katanya, terdapat syarikat yang menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing.
“Malangnya sebahagian daripada syarikat-syarikat ini nak bayar pelajar-pelajar TVET ini dengan harga pekerja asing. Jadi banyak isu ini sebenarnya berlegar daripada dasar dan polisi kita.. selalu kita terlampau fleksibel,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 juga belum menyelesaikan masalah berkenaan kerana graduan TVET masih ditawarkan gaji yang tidak mencerminkan kemahiran mereka.
Sehubungan itu, beliau menegaskan syarikat yang memohon kelulusan pelaburan melalui kementeriannya atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan diberi penjelasan bahawa pengambilan pekerja asing hanya dibenarkan bagi pekerjaan kategori 3D (berbahaya, sukar dan kotor)
“Kalau nak pakai pekerja asing, boleh, tetapi dengan syarat dia adalah hanya untuk kerja 3D,” katanya. – MYNEWSHUB


