KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO akan membuat laporan polis di seluruh negeri Johor terhadap Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kerana didakwa memfitnah institusi raja.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, laporan itu bagi meminta pihak polis menyiasat tuduhan Istana Johor mengawal UMNO dalam membuat keputusan.
“Ini satu tuduhan yang sangat berat kepada institusi raja kita. Insya-Allah kita akan buat laporan polis di seluruh negeri Johor untuk kita minta pihak polis siasat tentang tuduhan Datuk Puad ini.
“Ini bukan perkara main-main. Kalau tuduh institusi raja macam ini sekali, ini berat tuduhannya wahai Datuk Puad,” katanya menerusi satu rakaman video di muat naik di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal mengingatkan Mohd Puad bahawa UMNO bukan parti anak-beranak, sebaliknya ia parti politik yang memberi ruang kepada semua untuk mengasah bakat kepimpinan.
“Jadi kalau parti ini tak dapat menunaikan permintaan dan hasrat Datuk Puad, janganlah tuduh parti ini dah tak berguna, dah tak ada aspirasi orang muda.
“Jadi Datuk Puad, bagilah contoh yang baik kepada kami orang muda,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


