KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menolak cadangan mewajibkan pemaju menyediakan tapak rumah ibadat agama lain dalam setiap pembangunan baharu di Selangor kerana berpotensi menjejaskan identiti Islam di negeri itu.
Presidennya, Shuhaib Ar-rumy Selamat berkata, kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai makna yang mendalam dan Islam menjadi asas penting dalam pembentukan dasar, pentadbiran dan pembangunan negara.
“Setiap dasar baharu perlu memperkukuh kedudukan Islam, menjaga maslahat awam dan mengutamakan kepentingan majoriti rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shuhaib berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), umat Islam merangkumi lebih 60 peratus daripada populasi negara, manakala di Selangor majoriti penduduk beragama Islam.
Justeru, katanya, dasar guna tanah perlu mengambil kira komposisi demografi agar selari dengan keperluan sebenar masyarakat majoriti, manakala dasar awam hendaklah digubal berdasarkan keperluan sebenar.
Katanya, sebagai contoh laporan audit tempatan di beberapa kawasan bandar menunjukkan terdapat rumah ibadat bukan Islam yang kurang digunakan atau beroperasi di bawah kapasiti.
“Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan setiap individu untuk menganut dan mengamalkan agamanya.
“Namun, jaminan itu tidak membawa maksud kerajaan atau pemaju wajib menyediakan tanah bagi pembinaan rumah ibadat dalam setiap projek pembangunan,” katanya.
ISMA turut menegaskan bahawa dasar guna tanah mempunyai implikasi jangka panjang terhadap struktur sosial, identiti kawasan dan arah pembangunan negeri.
“Kerajaan Selangor sewajarnya memberi keutamaan kepada pembangunan institusi Islam seperti masjid, surau, sekolah agama, pusat pembangunan keluarga serta kemudahan awam yang memberi manfaat luas kepada masyarakat.
“Statistik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan peningkatan keperluan terhadap kemudahan masjid dan surau di kawasan pembangunan baharu, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Shah Alam dan Petaling,” katanya.
Justeru, katanya, ISMA mendesak kerajaan Selangor menarik balik cadangan itu serta mengkaji semula dasar berkaitan penyediaan tapak rumah ibadat supaya selaras dengan kedudukan Islam dan Melayu dalam sistem kenegaraan.
“Dasar dan polisi awam perlu berfungsi sebagai instrumen untuk memperkukuh identiti negara, memelihara keharmonian masyarakat dan mengangkat martabat Islam sebagai agama Persekutuan.
“Pengalaman di beberapa negara menunjukkan bahawa dasar guna tanah yang tidak sensitif terhadap identiti majoriti boleh mencetuskan ketegangan sosial dan konflik komuniti, sekali gus menjejaskan kestabilan jangka panjang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Ikatan Muslimin Malaysia


