JOHOR BAHRU – Exco kerajaan negeri, Datuk Zahari Sarip memaklumkan hanya tiga permohonan hak milik peneroka FELDA di Johor belum selesai kerana melibatkan keperluan perintah pusaka.
Menurut beliau, sebanyak 99.99 peratus
27,639 daripada 27,642 permohonan hak milik peneroka FELDA di Johor telah pun berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.
“Baki tiga permohonan yang masih belum selesai sebelum ini melibatkan keperluan perintah pusaka dan kini telah melalui proses berkaitan.
“Insya-Allah kerajaan negeri berhasrat membawa ketiga-tiga permohonan tersebut untuk pertimbangan dan kelulusan pada Julai tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, beliau melahirkan rasa syukur kerana impian 210 keluarga peneroka FELDA untuk menerima hak milik tanah mereka berjaya ditunaikan semalam.
Menurut beliau, majlis penyerahan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diteruskan walaupun FELDA membatalkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor pada 21 Jun 2026
“Walaupun berdepan pelbagai tekanan, kekangan dan sekatan sehingga sambutan tersebut tidak dapat diteruskan seperti yang dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan serius terhadap penyelesaian hak milik Lot Generasi Kedua FELDA di Johor.
Jelas beliau, daripada keseluruhan 12,392 permohonan, sebanyak 10,663 permohonan bersamaan 86 peratus telah berjaya diluluskan.
“Sepanjang tempoh 2022 hingga 2026 sahaja, sebanyak 3,178 permohonan Lot Generasi Kedua telah diluluskan.
“Baki permohonan sedang dipercepatkan melalui proses semakan dan penilaian di peringkat Pejabat Tanah Daerah (PTD) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG),” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahari Sarip


