KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pelaburan dan projek strategik berkembang pesat di Johor atas usaha berterusan Kerajaan Madani.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Anwar berkata, Johor adalah negeri yang kaya dengan potensi dan peluang, namun ekonomi negeri itu masih mempunyai ruang yang besar untuk melonjak lebih jauh.
Beliau turut mengingatkan Malaysia terlalu kaya untuk rakyatnya terus terbeban akibat ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang tamak haloba dan hanya mahu memperkaya diri dan keluarga.
“Pakatan Harapan (PH) berpegang pada prinsip yang jelas. Setiap projek yang dilaksanakan mesti membawa manfaat langsung kepada rakyat.
“Setiap dasar harus mengangkat martabat dan memperbaiki kehidupan rakyat. Setiap wang negara mesti diurus dengan amanah dan tanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, Anwar mendakwa kehadiran luar biasa orang ramai semasa Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Johor di Batu Pahat malam tadi membuktikan semangat dan sokongan rakyat Johor kepada PH.
Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini juga adalah medan untuk rakyat menolak politik kebencian, prasangka serta perpecahan kaum dan agama.
Kata beliau, rakyat mahukan pemimpin yang berbicara tentang pekerjaan, rumah mampu milik, pendidikan yang berkualiti dan kehidupan yang lebih terjamin untuk rakyat.
“Bukannya politik yang tandus idea lalu menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai modal kempen setiap hari.
“Apa saya lihat malam tadi memberi keyakinan yang besar. Orang Melayu, Cina, India berhimpun dengan satu harapan yang sama.
“Mereka tidak disatukan oleh kebencian atau prasangka, sebaliknya dipertemukan dengan cita-cita yang sama untuk membina negeri dan negara yang lebih adil, maju dan bermaruah,” katanya.
Justeru, Anwar menyeru rakyat Johor menolak politik yang memecah-belahkan rakyat dan memilih PH yang didakwa menyatukan, membela dan membawa harapan.
“Pilih masa depan Johor yang lebih adil, maju dan bermaruah. Pilih PH,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


