KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan sekitar tahun 80-an, Tan Sri Shahrir Ab Samad membidas kenyataan Hannah Yeoh yang mengibaratkan Kuala Lumpur pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ibarat “neraka”
Shahrir berkata, beliau dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 1983 ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) daripada Pakatan Harapan (PH) DAP itu baru berusia empat tahun.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semacam ‘hell’ atau neraka semasa ditadbir oleh BN selama 44 tahun kata Hannah Yeoh. Dikatakan ini kepada Straits Times Singapore. Maka, katanya jangan kembalikan kuasa kepada BN.
“Saya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 1983. Ketika itu Hannah Yeoh berusia empat tahun. Saya bangga dengan pencapaian saya sebagai seorang menteri BN dalam mentadbir Kuala Lumpur dan kemudiannya Labuan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Shahrir berkata, antara yang beliau laksanakan untuk Kuala Lumpur ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan termasuk KL International Marathon dan KL Arts Festival.
Begitu juga pembangunan semula kampung setinggan dan buat kali pertama rumah pangsa kos rendah disyaratkan mempunyai tiga bilik tidur dengan jumlah perumahan untuk lebih 2,000 keluarga.
Kata beliau, turut dilaksanakan penggunaan semula bangunan-bangunan lama seperti KL Central Market dijadikan Pasar Seni, Hotel Majestic dijadikan Balai Seni Lukis Negara yang sementara dan lain-lain.
“Dibuka Perkuburan Islam Bukit Kiara yang masih dipakai sehingga hari ini. Adakah kesemua ini seperti ‘neraka’ bagi rakyat KL?
“Nak kempen untuk DAP pun, performlah dulu. Syurga juga tidak bermula dengan Pakatan Hadapan (PH) dan DAP mendapat kuasa,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Shahrir Samad – Tok Uban



