KOTA BHARU – Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), yang mayatnya ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap mangsa antara jam 11.40 malam pada 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob bersama Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri.
Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Alias Ibrahim.
Mahkamah kemudian menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan pengurusan kes dan laporan pakar.


