JOHOR BAHRU – “Budak yang PMX sebut ini, kita orang kat Johor dah kenal sangat dah. Budak itulah yang selalu buat hal turun padang, buat kerja kat Johor ini. Nama budak itu Datuk Onn Hafiz Ghazi”
Demikian sindiran pelakon Shahrol Shiro berhubung ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang ugutan politik ‘budak-budak’ semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 semalam.
Anwar yang juga Pengerusi PH dalam ucapan tersebut mendakwa sudah melalui banyak pengalaman termasuk dipukul dan dipenjarakan, maka ugutan politik oleh ‘budak-budak’ bukan suatu masalah baginya.
“Budak-budak yang Datuk Seri nyatakan tu budak-budak yang mana? Budak yang ini kah? Kalau budak yang ini, kami kat negeri Johor dah kenal sangat dah. Budak ini lah tak kira siang ke malam turun padang untuk selesaikan masalah-masalah yang ada kat Johor.
“Antaranya masalah CIQ, hospital, jalan raya dan perumahan. Budak ini jugalah yang selalu turun ke kampung-kampung, bertanyakan khabar, mendengar masalah mereka. Setiap tahun, budak ini lah yang buat jelajah orang Johor supaya setiap lapisan masyarakat dapat disantuni.
“Budak ini jugalah yang membawa pelaburan yang sangat tinggi untuk negeri ini. Hari ini budak ini tengah sibuk membantu rakyat Johor yang memerlukan menerusi Program Bantuan Kasih Johor,” katanya menerusi satu hantaran video hari ini.
Shahrol Shiro seterusnya berkata, ‘budak-budak’ yang dimaksudkan Anwar itu juga sentiasa bersama golongan muda di negeri Johor serta prihatin terhadap masa depan anak muda negeri tersebut.
“Budak ini jugalah yang selalu ada bila negeri Johor ditimpa bencana. Muka budak ini jugalah yang setiap pagi kita akan nampak di masjid-masjid untuk mengimarahkan program Semarak Subuh.Tak cukup dengan itu, dia buat pula program infak pada setiap hari Jumaat.
“Pada Datuk Seri, dia hanyalah budak-budak. Tapi bagi kami rakyat Johor, kami memanggilnya Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor,” sindirnya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber info/foto: Akaun media sosial Shahrol Azizie Azmi.


