SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau mahu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kekal sebagai Menteri Pengangkutan.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau sukar menerima hasrat Anthony Loke untuk meletakkan jawatan, meskipun Ahli Parlimen Seremban itu mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
“Saya faham, tetapi saya telah memberitahunya bahawa tiada alasan yang sepatutnya mengatasi tugas dan tanggungjawab kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Beliau kini sedang bercuti dan saya mahu memintanya kembali menjalankan tugas secepat mungkin,” katanya seperti dilaporkan sebuah media berbahasa Inggeris.
Pada 10 November lalu, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International secara tahanan rumah.
Anthony Loke sebelum ini menjelaskan bahawa peletakan jawatannya merupakan keputusan parti sebagai menyatakan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Bagaimanapun, pada 25 November lalu, Anwar mengesahkan beliau masih belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke dan Ahli Parlimen Seremban itu masih dalam tempoh bercuti. – MYNEWSHUB


