KUALA LUMPUR – Sekretariat Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) mendedahkan Rohingya Society Malaysia antara yang dijemput menghadiri sesi libat urus cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) yang dijadual berlangsung di ibu negara esok.
Pengerusi Garah, Firdaus Wong Wai Hung
mempersoalkan motif Kementerian Perpaduan Negara menjemput pertubuhan itu sedangkan komposisi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam sesi berkenaan didakwa tidak seimbang.
“Komposisi wakil agama tidak seimbang. Sahabat boleh lihat sendiri senarai 70 NGO yang dijemput. Asalnya hanya 64 NGO, tetapi kemudian ditambah lagi enam NGO lain.
“Mengikut Banci 2020, sebanyak 63.5 peratus atau hampir dua pertiga penduduk Malaysia beragama Islam, namun bagi sesi libat urus SKN ini, berapa peratus NGO Islam yang benar-benar dijemput? Adakah angka itu mencerminkan keharmonian?” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Beliau turut mendakwa persatuan agama dan gabungan agama bukan Islam serta kuil, tokong dan gereja dijemput namun tiada masjid dan institusi agama Islam disenaraikan.
Justeru, Firdaus mempersoalkan sama ada kementerian terbabit terlepas pandang mengenai komposisi jemputan yang benar-benar mencerminkan keharmonian.
Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada cadangan penubuhan SKN usaha baharu menjenamakan semula Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang sebelum ini pernah menerima bantahan dan ditolak kerajaan.
Terdahulu, beliau menegaskan Garah membantah sesi libat urus berhubung cadangan penubuhan SKN kerana mendakwa isu pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran masih belum diberi keutamaan.
Menurutnya, titah Raja-Raja Melayu yang mahu tindakan penguatkuasaan terhadap pembinaan rumah ibadat haram dilaksanakan seharusnya menjadi fokus utama.
“Kalau benar serius mahukan keharmonian, utamakan titah Raja-Raja Melayu yang mahukan tindakan diambil terhadap rumah anutan haram ini.
“Kalau benar-benar serius mahukan keharmonian, jangan buat perkara yang melanggar undang-undang kemudian ‘play victim’ gunakan alasan mahu pelihara keharmonian lalu meminta tanah dan wang pampasan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


