KUALA LUMPUR – Lebih 9 juta pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kini secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, memaklumkan skim Lindung 24 Jam itu menyediakan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
“Pelaksanaan skim di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ini adalah secara automatik kepada semua pekerja formal sedia ada tanpa memerlukan sebarang pendaftaran baharu oleh majikan atau pekerja.
“Bagi individu yang baharu diambil bekerja dan melapor diri selepas 1 Jun 2026, majikan wajib mendaftarkan pekerja tersebut mengikut prosedur sedia ada melalui sistem Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ramanan menjelaskan caruman Lindung 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi tujuan caruman iaitu RM6,000.
Untuk permulaan, katanya, kadar caruman bagi Lindung 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan.
Justeru, majikan bertanggungjawab menguruskan potongan gaji pekerja serta melaksanakan pembayaran caruman skim ini kepada Perkeso setiap bulan.
Katanya, pembayaran caruman perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kesinambungan perlindungan tanpa gangguan, di samping memudahkan pematuhan oleh majikan dan pekerja.
“Menerusi skim Lindung 24 Jam, Perkeso memperuntukkan lapan faedah demi kelangsungan dan kebajikan pencarum, antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal serta Faedah Orang Tanggungan.
“Selain itu, turut disediakan Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional atau Return To Work (RTW), serta Faedah Pendidikan bagi menyokong masa depan waris,” katanya.
“Sebarang permohonan faedah boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal Lindung Faedah di pautan https://lindungfaedah.perkeso.gov.my� atau hadir terus ke pejabat Perkeso berhampiran,” katanya. – MYNEWSHUB


