KUALA LUMPUR – Pas tidak menghalang usaha perpaduan Melayu dan Islam, namun menolak perpaduan yang menurut parti itu tidak mendaulatkan Islam serta umatnya bersama DAP dan gagasan Pakatan Harapan (PH)
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sebaliknya mencadangkan perpaduan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W
Menurutnya, perpaduan di zaman Rasulullah S.A.W bermula dengan penyatuan bangsa Arab melalui Islam dan nilai kemanusiaan sebelum diikuti perpaduan masyarakat majmuk pelbagai agama serta bangsa.
“Begitulah kita memulakan perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera yang memimpin serta bersama dengan pelbagai kaum dan agama berkonsepkan kemanusiaan dan keadilan untuk semua,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi memaklumkan terdapat cadangan untuk menghidupkan semangat bermuzakarah demi perpaduan Melayu dan Islam.
Bagaimanapun, beliau berkata, muzakarah tersebut perlu bertujuan mencari kebenaran seperti yang diajar Islam bagi menyahut seruan Allah.
“Jadikanlah petunjuk Allah yang bercahaya untuk menyuluh siapa sebenarnya penipu, pengkhianat dan pembohong.
“Carilah dan cadangkanlah pihak ketiga dalam kalangan mufti atau ilmuwan Islam untuk membuka kitab Allah serta segala ilmunya dengan ikhlas, amanah dan benar.
“Janganlah menjadi seperti golongan Ahli Kitab yang mendabik dada. Dalam UMNO juga ramai ilmuwan Islam dan golongan ilmuwan yang berpihak kepada UMNO,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi menafikan dakwaan Presiden UMNO yang menolak kerjasama Islam bersama Pas kerana terdapat ‘DNA khianat’ dalam Pas.
Beliau sebaliknya menyindir UMNO mempunyai kaitan dengan DNAA (kes mahkamah lepas tanpa dibebaskan) yang didakwanya mengepung parti tersebut dalam kerjasama bersama DAP.
“Namun, ia tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan umat. Pas berpegang kepada konsep Islam bahawa seseorang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan secara adil,” katanya.
Beliau turut mendakwa ‘DNA khianat’ itu sebenarnya wujud dalam UMNO, bukannya Pas berdasarkan beberapa peristiwa lampau. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Abdul Hadi Awang


