KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang untuk menganjurkan China GT Championship di Malaysia bagi merancakkan sektor pelancongan, meningkatkan perbelanjaan dan menarik lebih ramai pelawat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pasukan daripada pengendali acara sukan China, Top Speed Sports Events China bagi membincangkan usaha tersebut.
“Dalam pertemuan tersebut, pihak penganjur turut berkongsi minat mereka untuk menganjurkan lebih banyak perlumbaan antarabangsa di Malaysia dengan menjadikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai hab utama.
“Idea ini adalah untuk menghubungkan pengalaman perlumbaan dengan pakej pelancongan dan promosi serantau supaya lebih ramai peserta antarabangsa, khususnya pelawat dari China, datang ke Malaysia melalui acara sukan permotoran,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
King Sing berkata, beliau telah meminta pihak berkaitan supaya segera mengambil tindakan susulan dengan pihak berkuasa yang sewajarnya berkaitan perkara seperti kelulusan acara, rangka kerja promosi dan kerjasama antara agensi.
Ia bagi memastikan bahawa apabila acara antarabangsa dianjurkan di Malaysia, ia disokong oleh ekosistem yang lengkap dan mampu merealisasikan sepenuhnya nilai dari segi pelancongan sukan, impak ekonomi dan keterlihatan global.
“Saya menegaskan bahawa kita mahukan sinergi sebenar antara acara dan pelancongan, bukan sekadar aktiviti ‘one-off’,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber info/foto: Akaun media sosial Datuk Seri Tiong King Sing


