KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai sistem pemerintahan, sejarah, adat dan budaya tersendiri dengan mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukannya sistem republik.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Ledang, Fairuz Jamaluddin berkata, kedudukan institusi Raja-Raja Melayu merupakan sebahagian daripada asas pembentukan negara ini.
“Jangan terlalu ghairah mengagungkan kebebasan bersuara sehingga terlupa bahawa kebebasan itu datang bersama tanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurutnya, seseorang boleh mempertikaikan sesuatu keputusan dan membahaskan tafsiran undang-undang, namun jangan sengaja mengheret institusi diraja ke dalam pertelingkahan politik.
Beliau turut mengingatkan supaya institusi Raja tidak disamakan dengan ahli politik yang boleh dijadikan bahan serangan politik setiap kali berlaku perbezaan pendapat.
Terdahulu, Fairuz berkata, setiap individu mempunyai hak untuk bersuara dan menyumbang kepada perbahasan negara, namun tidak seharusnya bercakap seolah-olah lebih besar daripada institusi yang diperkatakan.
Katanya, institusi Raja-Raja Melayu mempunyai sejarah panjang dalam pembentukan negara dan kedudukannya terus dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kau nak berhujah, berhujahlah dengan ilmu. Jangan sampai orang melihat kau bukan lagi sedang membahaskan undang-undang, tetapi sedang cuba memperlihatkan bahawa institusi Raja itu boleh dipandang rendah,” katanya.
Fairuz turut menyuarakan kebimbangan apabila kenyataan yang timbul mula menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sesetengah gerakan yang memperjuangkan perubahan terhadap sistem sedia ada.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh mana-mana pihak mempunyai agenda menjadikan Malaysia sebuah republik tanpa bukti. Tetapi usaha mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan juga tidak boleh dipandang ringan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Fairuz Jamaluddin


