KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan menafikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menafikan institusi pendidikan tersebut menerima pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) seperti yang didakwa di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, program Asasi KIAS hanya terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf dan diiktiraf.
“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa sehingga kini kelayakan UEC tidak termasuk dalam syarat kelayakan akademik yang diiktiraf untuk kemasukan ke program Asasi KIAS.
“Berdasarkan syarat kemasukan yang dipaparkan oleh pihak KIAS, program Asasi adalah terbuka kepada calon yang memiliki kelayakan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan lain yang setaraf dan diiktiraf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Roslan berkata, sehubungan itu calon yang hanya memiliki kelayakan UEC adalah tidak layak dipertimbangkan bagi kemasukan ke program Asasi KIAS.
Kata beliau, sebarang perubahan dasar atau syarat kemasukan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Kolej Universiti dari semasa ke semasa.
“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman rasmi KIAS atau hubungi Unit Kemasukan Pelajar KIAS,” katanya. – MYNEWSHUB


