SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang semua sekolah di bawah pentadbirannya mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah kerana sambutan tersebut didapati memberi kesan kepada ibu bapa pelajar.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya mendapati sambutan tersebut telah menjadi tradisi untuk ibu bapa menyediakan hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak-anak..
“JAIS melihat perkara ini perlu dihentikan dalam keadaan sekarang kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mynewshub semalam melaporkan, satu surat
yang dikeluarkan oleh JAIS berhubung larangan sekolah di bawah pentadbiran institusi agama tersebut menganjurkan Sambutan Hari Guru tular di media sosial.
Menurut kandungan surat berkenaan, semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan menganjurkan Sambutan Hari Guru sama ada di peringkat daerah mahupun sekolah.
Terdahulu, JAIS memaklumkan larangan tersebut selaras dengan saranan kerajaan supaya rakyat melakukan perbelanjaan secara berhemah, bijak dan meminimumkan penggunaan tenaga susulan situasi geopolitik semasa yang tidak menentu serta berkemungkinan menjadi lebih buruk.
Menurut beliau, Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat di negeri itu melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan secara berhemah serta bijaksana.
Bagaimanapun, katanya, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor sentiasa menghargai jasa serta sumbangan para guru JAIS dalam mendidik pelajar di bawah kelolaan mereka.
Katanya lagi, sebagai penghargaan kepada para guru, Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan diadakan pada 21 Mei ini.
“Majlis itu akan mengiktiraf sumbangan guru dan kecemerlangan sekolah dalam pelbagai kategori dengan kos melebihi RM200,000 daripada peruntukan MAIS dan Kerajaan Selangor yang akan diberikan kepada tokoh guru dan sekolah cemerlang dalam bentuk tunai atau geran,” katanya.
Beliau berkata, JAIS akan mempertimbangkan semula pelaksanaan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan ekonomi global kembali stabil.
“Beberapa perkara dalam pelaksanaan Sambutan Hari Guru juga akan dinilai semula atau dibuat pengubahsuaian yang perlu.Ia termasuk melibatkan masa sambutan yang tidak mengganggu jadual serta proses pembelajaran dalam kelas, selain tentatif yang ringkas dan selaras untuk diguna pakai oleh semua sekolah di bawah seliaan JAIS,” katanya. – MYNEWSHUB⁸


