SHAH ALAM – Satu surat didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak membenarkan sekolah di bawah pentadbiran institusi agama tersebut menganjurkan Sambutan Hari Guru tular di media sosial.
Menurut isi kandungan surat berkenaan, jabatan itu menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran JAIS tidak dibenarkan menganjurkan Sambutan Hari Guru sama ada di peringkat daerah mahupun sekolah.
Surat berkenaan dikongsikan oleh Ketua
Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar di akaun media sosial beliau hari ini.
“Ketetapan ini dibuat selaras dengan hasrat JAIS agar pihak sekolah memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah.
“Selain itu, sumber-sumber kewangan yang ada disarankan untuk dimanfaatkan bagi tujuan peningkatan profesionalisme guru serta pelaksanaan program yang dapat memperkasa kualiti dan sahsiah pelajar,” kata surat berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, Sambutan Hari Guru tidak wajar dibatalkan secara menyeluruh sekiranya isu utama melibatkan kekangan kewangan.
Menurut beliau, sambutan itu masih boleh diteruskan secara sederhana dan bersesuaian dengan kemampuan sekolah.
Kata beliau, Hari Guru bukan sahaja simbol penghargaan, malah pendidikan adab dan pembinaan jiwa murid untuk menghormati insan yang mendidik mereka.
“Dalam tradisi Islam sendiri, memuliakan guru adalah sebahagian daripada adab terhadap ilmu.
“Ulama terdahulu sangat menitikberatkan penghormatan kepada guru kerana daripada merekalah lahirnya generasi berilmu dan berakhlak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamed Sukri Omar


