JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan hasil negeri mencecah RM1 bilion setakat 30 April 2026 iaitu peningkatan sebanyak RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ekoran hasil negeri semakin meningkat, kerajaan negeri akan memperluaskan insiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 berbanding peruntukan RM138 juta yang diumumkan sebelum ini.
Menurut beliau, ia bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh masyarakat Johor merangkumi bantuan tunai kepada warga emas, suri rumah, pasangan baru berkahwin, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta penjaja dan peniaga kecil.
“Kerajaan negeri turut memperkukuh pelaksanaan Jualan Kasih Johor dengan menambah peruntukan sebanyak RM30 juta daripada peruntukan asal.
“Menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM45.4 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 750,200 keluarga Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Onn Hafiz berkata, kejayaan itu hanyalah permulaan dan setiap peningkatan hasil negeri akan dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang benar-benar dirasai rakyat Johor.
“Saya sedar dan insaf, segala usaha ini masih belum mencukupi. Namun, dalam keterbatasan yang ada, inilah yang mampu kerajaan negeri laksanakan pada ketika ini dengan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, sekiranya hasil negeri terus meningkat dan rezeki Johor terus bertambah, lebih banyak bantuan akan dapat disalurkan kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz berkata, beliau menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk terus menjaga kebajikan rakyat Johor. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


