• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, November 3, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Bayaran Cukai Kini Mudah Dan Cepat, Jangan Tunggu Saat Akhir

oleh Mynewshub
dalam Utama & Sensasi
0
Bayaran Cukai Kini Mudah Dan Cepat, Jangan Tunggu Saat Akhir
Share on FacebookShare on Twitter

URUSAN membayar cukai kini semakin mudah, pantas dan fleksibel menerusi pelbagai kemudahan yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), sekali gus membolehkan pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa perlu melalui proses yang rumit.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir pembayar cukai yang cenderung menangguhkan bayaran kerana kurang pasti mengenai kaedah yang tersedia, bimbang melakukan kesilapan atau memilih untuk menunggu sehingga menghampiri tarikh akhir.

Hakikatnya, dengan kemudahan pembayaran secara dalam talian dan pelbagai saluran alternatif, urusan menjelaskan cukai kini boleh dilakukan dengan lebih teratur mengikut kesesuaian masing-masing.

Selepas mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) melalui sistem e-Filing di Portal MyTax, pembayar cukai perlu memastikan sebarang baki cukai yang masih tertunggak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan.

Perkara ini tidak wajar dipandang ringan kerana kelewatan menjelaskan bayaran boleh menyebabkan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus dikenakan.

Bagi memudahkan urusan tersebut, HASiL menyediakan platform ByrHASiL melalui Portal MyTax yang membolehkan pembayaran dibuat secara dalam talian menggunakan perkhidmatan perbankan internet atau Financial Process Exchange (FPX)

Selain itu, pembayar cukai turut mempunyai pilihan untuk membuat bayaran melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM), perkhidmatan tele-perbankan, kaunter atau perbankan dalam talian ejen kutipan HASiL.

Kemudahan pindahan bank seperti Interbank GIRO (IBG), Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) serta Telegraphic Transfer (TT) turut disediakan sebagai saluran pembayaran alternatif.

Kepelbagaian kaedah ini memberi kebebasan kepada pembayar cukai memilih saluran paling praktikal tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada urusan di kaunter.

Malah, pembayar cukai yang berada di luar negara atau tidak mempunyai akaun bank tempatan juga boleh melunaskan kewajipan mereka menerusi Sistem e-TT.

Melalui sistem tersebut, nombor akaun maya atau virtual account (VA) yang unik akan dijana sebagai rujukan bagi memastikan setiap transaksi dapat dikenal pasti dan direkodkan dengan tepat.

Penjanaan nombor VA boleh dibuat menggunakan Nombor Bil seperti yang tertera dalam notis cukai atau Nombor Pengenalan Cukai (TIN) berserta tahun taksiran.

Sehubungan itu, pembayar cukai dinasihatkan supaya menyemak setiap maklumat sebelum mengesahkan transaksi bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan rekod pembayaran.

Dalam pada itu, HASiL turut menyediakan kemudahan e-Ansuran melalui Portal MyTax kepada pembayar cukai yang menghadapi kesukaran menjelaskan keseluruhan jumlah cukai secara sekali gus.

Bagaimanapun, kemudahan berkenaan bukan diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada syarat tertentu termasuk permohonan yang perlu dikemukakan lebih awal, had bilangan ansuran serta pematuhan terhadap jadual pembayaran.

Kegagalan memenuhi jadual yang telah ditetapkan boleh menyebabkan kemudahan ansuran dibatalkan, selain membuka ruang kepada tindakan penguatkuasaan.

Sementara itu, pembayar cukai juga digalakkan menyemak status transaksi secara berkala menerusi kemudahan e-Lejar di Portal MyTax.

Melalui sistem yang berfungsi sebagai penyata akaun cukai itu, pengguna boleh menyemak tarikh dan jumlah bayaran yang telah direkodkan, mengenal pasti sebarang baki tertunggak serta memastikan tiada kesilapan dalam rekod percukaian.

Semakan selepas pembayaran penting bagi memastikan setiap transaksi diterima dan dikemas kini dengan betul, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, kemudahan digital dan kepelbagaian saluran pembayaran yang disediakan HASiL membuktikan urusan cukai kini boleh dilaksanakan dengan lebih cekap sekiranya pembayar cukai memahami prosedur yang ditetapkan.

Apa yang diperlukan hanyalah perancangan awal, ketelitian ketika memasukkan maklumat pembayaran serta disiplin untuk menjelaskan cukai mengikut tempoh yang ditentukan.

Bayaran cukai bukan sekadar kewajipan individu, malah merupakan sumbangan penting kepada pembangunan dan masa depan negara.

Justeru, pembayar cukai disarankan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir, sebaliknya memanfaatkan kemudahan sedia ada untuk merancang, menyemak dan melunaskan bayaran dengan penuh tanggungjawab. – MYNEWSHUB

Tags: bayaranCukaihasilJangan TungguKiniMudah Dan CepatSaat Akhir
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

HASiL Sokong Pertumbuhan SMKS Melalui Kadar Cukai Istimewa Dan Pelbagai Insentif

HASiL Sokong Pertumbuhan SMKS Melalui Kadar Cukai Istimewa Dan Pelbagai Insentif

28/10/2026
0

Ramai sedia maklum mengenai peranan penting syarikat mikro, kecil dan sederhana (SMKS) dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Namun, mungkin tidak...

Lee Chean Chung: RM91 Juta Hasil Bidaan Nombor Plat “H” Sepatutnya Disalurkan Ke Kumpulan Wang Disatukan

Lee Chean Chung: RM91 Juta Hasil Bidaan Nombor Plat “H” Sepatutnya Disalurkan Ke Kumpulan Wang Disatukan

26/10/2026
0

KUALA LUMPUR - Hasil bidaan nombor plat kenderaan khas siri “H” berjumlah RM91 juta sepatutnya disalurkan ke dalam Kumpulan Wang...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd