KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian UMNO berhubung penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 di Bukit Bintang.
Beliau dalam satu kenyataan di media sosial berkata, dalam apa juga penganjuran program prinsipnya mesti jelas iaitu tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.
Katanya, UMNO turut mengambil serius pandangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung penganjuran festival tersebut.
“Pandangan ini wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia. Sebab itu kami telah meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya.
“Garis panduan juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, prinsip UMNO adalaj jelas iaitu berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas dan kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat.
Sehubungan itu, katanya, penganjur wajar berbincang dengan pihak berkuasa agar keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Ini pendirian UMNO,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Zahid Hamidi


