KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi keluarga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam.
Perkara itu dimaklumkan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menerusi satu hantaran di media sosial.
Mohamed Khairul Azman menzahirkan penghargaan terhadap kehadiran dan keprihatinan Ahmad Zahid ketika keluarganya sedang melalui satu ujian yang disifatkan bukan mudah.
“Terima kasih, Ayahanda Presiden. Dalam saat keluarga kami sedang melalui satu ujian yang tidak mudah, kehadiran dan keprihatinan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menziarahi kami sekeluarga amat besar maknanya.
“Ada ketika, kata-kata tidak mampu menggambarkan apa yang dirasa. Cukuplah dengan kehadiran, bertanya khabar dan memberikan kekuatan kepada sebuah keluarga yang sedang melalui ujian,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan selain mendoakan agar segala urusan dipermudahkan serta keadilan dapat diberikan.
“Kami sekeluarga menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan mendoakan agar segala urusan dipermudahkan, diberikan keadilan serta dijalankan dengan penuh integriti dan ketelusan.
“Buat Ata, teruslah kuat di sana. We are with you always. Insya-Allah, kebenaran akan sentiasa muncul akhirnya,” katanya.
Mohamed Khairul Azman turut berterima kasih kepada semua pihak yang menitipkan doa dan kata-kata semangat kepada keluarganya.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan dan jauhkan dari segala bentuk penganiayaan dan kezaliman,” katanya.
Abdul Azeez dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bethubung isu Tabung Haji. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamed Khairul Azman


